MAKLUMAT MENGENAI PINJAMAN

Sabtu, 2 Julai 2011

Petikan dari Utusan Malaysia

Bank pusat dunia waspada risiko krisis kewangan 
28/06/2011

BANK pusat utama dunia mengeluarkan amaran kepada pelabur supaya bersedia menerima margin keuntungan kecil berikutan tindakan bank yang semakin enggan mengeluarkan dana pinjaman sebagai persediaan mengelak berlakunya krisis kewangan sekali lagi.

Mereka juga menasihatkan bank seluruh dunia mengenai keperluan menaikkan kadar faedah bagi memastikan tahap inflasi terkawal.

Bank for International Settlements (BIS) berkata, peraturan baru bagi bank menyaksikan mereka menaikkan modal penampan secara beransur-ansur supaya mampu memberi pulangan yang boleh dijangkakan dan lebih kecil.

Namun begitu, BIS, organisasi utama memantau bank pusat utama lain, berkata dalam laporan tahunannya bahawa pengurus bank dan pemegang saham melaksanakan pengubahsuaian itu seperti yang dijangkakannya.

Katanya, kadar faedah mungkin akan dinaikkan kerana polisi kewangan global yang lebih ketat diperlukan supaya dapat menahan tekanan inflasi dan menghindari risiko kestabilan kewangan.

Pengurus Besar bank itu, Jaime Caruana, berkata krisis kewangan global yang berlaku pada 2008-2009 masih membayangi dunia, tapi sudah ada petanda bahawa kembalinya pengambilan risiko keterlaluan berlaku lagi.

Beliau memberi amaran ancaman daripada hutang awam yang tidak mampan, harga komoditi dan tenaga yang melambung naik serta inflasi yang sudah pun mengancam banyak negara.

“Walaupun menggalakkan pelabur untuk mengambil risiko adalah sebahagian daripada pengurusan krisis, tapi ada kemungkinan dalam sesetengah peristiwa mereka akan melangkaui lebih daripada yang sepatutnya,” katanya.

Katanya, masalah fiskal lebih kelihatan pada negara Eropah yang berhutang dalam skala besar seperti Portugal, Greece dan Ireland, negara ekonomi utama lain juga perlu berhati-hati dan segera meningkatkan pendirian mereka bagi mengelakkan tercetusnya krisis global yang lain.

“Saya lihat terdapat keperluan untuk menaikkan polisi kewangan ke paras wajar,” katanya kepada pemberita di Basel, Switzerland.

Secara global, kadar faedah jangka masa pendek sudah menunjukkan bacaan negatif dengan menjunam sejak tahun lalu. Menaikkan kadar faedah ke paras wajar dapat mengurangkan insentif pengambilan risiko berlebihan dan menyokong pengstrukturan yang diperlukan serta pelarasan pada kunci kira-kira. – AP

Maklumat yang berguna untuk sama-sama kita fikirkan. 


0 ulasan: